Bismillahirrahmanirrahim
Allahumma solli ‘ala saiyidina Muhammad, wa ‘ala alihi saiyidina Muhammad
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, tuhan semesta alam. Hujung minggu yang lalu (29 November – 1 Disember) telah menyaksikan “penebaran sayap-sayap malaikat” di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia. Sebuah dewan yang mungkin menggamit memori mahasiswa UTM, kerana di situlah tempat dimana minggu pertama kita beraktiviti semasa minggu orientasi; dan di situ jualah tempat terakhir kita bergelar mahasiswa, ketika minggu penganugerahan ijazah. Namun perkongsian ini bukan berkenaan minggu orientasi mahupun minggu konvokesyen, bahkan penulisan ini adalah berkaitan dengan sebuah majlis ilmu yang begitu banyak manfaatnya kepada para peserta yang hadir. Tahniah kepada Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUTM) yang telah berjaya menganjurkan program ini.
Pelbagai slot yang mendidik jiwa telah berlangsung selama 3 hari 2 malam sepanjang program tersebut. Penulisan ini akan memfokuskan kepada slot fiqh kewanitaan dan kekeluargaan Islam yang telah disampaikan oleh Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria. Sungguh beruntung semua peserta yang telah dipilih oleh Allah untuk berada dalam slot ini. Banyak ilmu yang telah disampaikan oleh Ustazah Noor Laila Aniza. Antaranya adalah berkaitan tabarruj, permasalahan kesucian wanita dan sedikit perkongsian berkaitan fiqh kekeluargaan.
Baiklah, apakah yang dimaksudkan dengan tabarruj? Dalam perkataan yang mudah, tabarruj boleh difahami sebagai berhias yang dilarang. Atau menunjukkan perhiasan yang tak patut ditunjuk. Atau menunjukkan kecantikan secara berlebihan. Sebagai seorang wanita, semestinya kita tahu bagaimanakah tahap yang boleh dikategorikan sebagai tabarruj. Namun bagi memudahkan para pembaca, saya kongsikan sedikit cara yang Ustazah Noor Laila Aniza ajarkan tentang bagaimana untuk mengetahui seandainya kita telah bertabarruj. Menurut beliau, seandainya kawan kita dapat melihat warna-warna yang disapukan ke atas muka kita dari jauh lagi, maka itulah tabarruj. Atau perhiasan seperti gelang kaki yang berbunyi. Atau bau minyak wangi yang terhidu sebelum dan selepas seseorang wanita melalui sesuatu kawasan. Fuh, dahsyat kan kalau orang perempuan berhias? Sebelum orangnya sampai, baunya dah sampai dahulu. Bahkan selepas dia berlalu, baunya masih berbekas. Namun malangnya, itu bukan cara berhias bagi seorang wanita muslim yakni muslimah. Itu adalah cara berhias bagi wanita pada zaman jahiliah. Semoga kita semua dijauhkan daripada tergolong dalam golongan ini, nauzubillahiminzaalik.
Larangan tabarruj ini telahpun ditetapkan oleh Allah swt dalam qalamNya yang maha sempurna:
“Perempuan-perempuan tua yang telah berhenti haid dan kehamilan yang tidak ingin menikah lagi, tidaklah dosa atas mereka menanggalkan pakaian mereka tanpa bermaksud menampakkan perhiasannya (tabarruj).” Surah an-Nuur: 60.
Daripada ayat di atas, dapat difahami bahawa sedangkan wanita yang telah menopause pun dilarang untuk melakukan tabarruj, apatah lagi kita wanita Islam yang masih muda, dan masih ada keinginan untuk bernikah! Maka kesimpulannya, sesungguhnya larangan bertabarruj itu ditujukan kepada semua wanita Islam.
Secara ringkasnya, berikut merupakan perbuatan yang termasuk dalam kategori tabarruj seperti yang disampaikan oleh Ustazah Noor Laila Aniza:
- Mengenakan pakaian yang nipis dan ketat
- Mengenakan wangian di hadapan lelaki yang bukan mahram
- Berhias terhadap lelaki-lelakiasing (yang bukan mahram atau suami)
- Berdandan berlebihan
- Membuka sebahagian aurat
- Menghilangkan/mewujudkan tahi lalat dan meratakan gigi
Sesungguhnya masih banyak lagi perbuatan-perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai tabarruj, andai kita amati dari segi takrifan tabarruj itu sendiri. Namun Islam datang dengan sempurna dan penuh kesederhanaan. Larangan tabarruj bukan bermakna tidak membenarkan sama sekali seseorang wanita Islam untuk memakai secalit bedak pun di wajahnya, bukan melarang untuk memakai sedikit wangian untuk menghilangkan bau badan, dan bukan juga perlu berpenampilan selekeh agar tidak diklasifikasikan sebagai tabarruj. Bukan sama sekali. Namun Islam mementingkan kesederhanaan dan keselamatan para penganutnya. Betapa beruntungnya kita sebagai salah seorang daripada umat Islam!
![]() |
| Gambar Hiasan: Berfesyen tidak salah. tapi jangan terlalu berlebihan dan pastikan aurat sentiasa terjaga |
Berbincang soal tabarruj, pasti berkait dengan aurat. Pada umur 18 tahun ke atas (merujuk kepada umur pelajar universiti), sudah tentu kebanyakan daripada kita telah pun mengetahui apa batas-batas aurat yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepada wanita Islam. Seandainya ada yang terlupa, di sini ingin saya ingatkan, aurat seorang wanita di hadapan lelaki yang bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua-dua pergelangan tangan. Maka selain muka dan tapak tangan, seluruh anggota tubuh seorang wanita Islam sepatutnya terlindung daripada mata kasar.
Daripada perbincangan aurat tadi, terbit soalan dalam minda, wajibkah mamakai stoking? Jawapannya tidak wajib. Yang wajib adalah menutup aurat. Tutuplah dengan apa cara sekalipun, asalkan tidak mendedahkan aurat. Jika berkeyakinan untuk memakai “boot Phua Chu Kang” ke mana-mana, silakan. Asalkan tidak menampakkan aurat (dalam konteks ini kaki).
![]() |
| Gambar Hiasan: Boot Phua Chu Kang.. |
Kemudian Ustazah Noor Laila Aniza juga berkongsi tentang pemakaian telekung yang fabriknya jenis lycra yang sedang menjadi trend pada masa kini. Menurut beliau, telekung tersebut boleh menyebabkan solat yang dilakukan tidak sah, kerana menampakkan bentuk tubuh badan. Mana-mana pakaian yang menampakkan bentuk badan secara jelas, adalah dilarang dalam Islam. Begitulah dengan kain jenis lycra yang melekap di atas tubuh dan menampakkan bahagian “seksi” seorang wanita.
![]() |
| Gambar Hiasan: Berhati-hati dalam memilih telekung. Jangan sampai solat kita tidak sah disebabkan tersalah pilih. |
Maka sebagai seorang wanita muslim yang ingin menjaga aurat dengan sempurna, kita harus pandai memilih pakaian dan perhiasan yang sepatutnya. Firman Allah swt, “Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.”
Banyak lagi ilmu yang dikongsikan oleh Ustazah Noor Laila Aniza sepanjang 2 jam setengah membentangkan kertas kerja fiqh kewanitaan dan kekeluargaan dalam program Islamic Garden yang berlangsung tempoh hari. Namun di kesempatan ini, hanya ilmu yang sedikit ini yang dapat saya kongsikan dengan para pembaca. Terima kasih kerana sudi membaca. Segala kebaikan adalah daripada Allah swt yang maha sempurna, dan segala kelemahan berpunca daripada kekurangan diri penulis yang maha lemah ini, namun hakikatnya segala-galanya berbalik kepada penguasa alam buana, Allah swt yang maha Agung dengan segala kebesarannya. Semoga Allah mengizinkan kita semua mengamalkan segala ilmu yang telah kita pelajari.
Nur Indah Sukir, Disember 2013



No comments:
Post a Comment